Wednesday, June 24, 2015

Jimat Wang Dengan Peralatan Elektrik Cekap Tenaga

Pada masa kini, anda mungkin sudah terbiasa melihat label Cekap Tenaga yang ditampal pada sesetengah perkakas elektrik, dengan skala bintang dari dua bintang ke had maksimum lima bintang (dua bintang adalah yang paling sedikit). Ternyata setiap ‘bintang’ yang ‘dianugerahkan’ pasti membawa maksud tersendiri.
Namun, pernahkan anda terfikir, mengapa ada perbezaan dari segi kiraan bintang serta apakah kriteria yang membolehkan sesetengah perkakas itu dikategorikan sebagai PALING CEKAP TENAGA? Yang pasti, kami ingin merungkaikan bagaimana dengan membeli perkakasan elektrik jimat tenaga, anda boleh menjimatkan wang anda.
label cekap tenagaLabel Cekap Tenaga.  Sumber dari laman Suruhanjaya Tenaga
Semakin banyak bintang pada label, ini bermaksud bahawa produk itu mempunyai nilai EER (Energy Efficiency Rating / Pemeringkatan Kecekapan Tenaga) yang tinggi. Semakin tinggi EER, semakin cekap penggunaan tenaga bagi peralatan itu dan jika ianya dikategorikan sebagai 5 bintang, ianya adalah yang PALING CEKAP TENAGA.  Setiap produk berlabel cekap tenaga didatangkan dengan teknologi hijau yang dikhaskan untuk menggunakan tenaga elektrik secara lebih efisien sekaligus mengurangkan kesan rumah hijau.
Teknologi ini tidak terdapat pada peralatan elektrik biasa, walaupun dari segi harga, peralatan elektrik biasa kelihatan lebih murah, namun, dari segi nilai, peralatan cekap tenaga membolehkan anda lebih berjimat.  Lebih cekap penggunaan tenaga, lebih banyak anda berjimat.  Mari kita lihat bagaimana ianya berfungsi melalui contoh-contoh perkakasan rumah yang selalu kita guna setiap hari.

1. Lampu

lampu
a. Lampu mentol
Menjana haba yang banyak dan kebiasaannya menggunakan tenaga sebanyak 60W.  Kecekapan sinaran adalah dalam lingkungan 18 lumens/wat.
b. Lampu kalimantang
Menjana kuasa yang cerah pada penggunaan tenaga sebanyak 32W, mempunyai balast yang memakan tenaga sebanyak 8W.
c. Lampu kalimantang mampat (CFL)
Menggunakan tenaga sebanyak 11W untuk menghasilkan cahaya yang sama seperti mentol kalimantang 60W biasa.  Kecekapan sinaran adalah 60 lumens/wat.  Jangka hayat 8 kali ganda lebih lama dari lampu mentol biasa.
3 jenis lampu yang biasa digunakan ialah lampu mentol berfilamen, lampu kalimantang biasa serta lampu kalimantang mampat (CFL).  Ketiga-tiga jenis lampu ini menggunakan jumlah tenaga yang berbeza apabila berfungsi.  Walaupun dari segi harganya, CFL adalah lebih mahal, namun ianya membolehkan anda berjimat sehingga 80% penggunaan tenaga berbanding mentol biasa serta lebih tahan lama.

2. Penghawa Dingin

aircond
a. Penyaman udara konvensional
Penghawa dingin (AC) biasa tidak mempunyai teknologi pengawalan tenaga vs suhu yang efisien.  Sebagai contoh, apabila anda menetapkan suhu pada paras 25°c, pemampat AC akan dimatikan secara automatik setelah suhu bilik mencapai paras 25°c dan kebawah.  Apabila suhu bilik meningkat melebihi 25°c, pemampat akan hidup semula dan bekerja untuk menyejukkan ruang bilik mengikut suhu yang ditetapkan.  Proses ini banyak membuang tenaga dan menyebabkan gangguan bunyi sewaktu pemampat mati dan dihidupkan semula.
b. Penyaman Udara Inverter
Penghawa dingin inverter juga berfungsi untuk menyejukkan ruangan mengikut suhu yang telah ditetapkan, namun, pemampat tidak akan dimatikan secara automatik apabila mencapai kesejukan yang diingini.
Sebaliknya, teknologi inverter akan mengubah tahap (laju atau perlahan) pemampatan penyejuk untuk pengawalan suhu optimum.  Teknologi inverter juga berfungsi dengan lebih senyap disamping cara operasi yang lebih cekap dan pantas.
Walaupun penghawa dingin berteknologi inverter agak mahal harganya berbanding penghawa dingin biasa, ianya menawarkan penjimatan penggunaan tenaga sehingga 30% atau lebih mengikut jumlah bintang pada label cekap tenaga.  Ingat, lebih banyak bintang, lebih efisien penggunaan tenaganya yang bermaksud penjimatan wang.

3. Mesin Basuh

mesin basuh
a. Mesin basuh separa automatik
Mesin basuh jenis ini masih lagi digunakan yang mempunyai fungsi paling ringkas pencucian dengan cara operasi paling mudah.  Dari segi kecekapan tenaga, mesin basuh jenis ini tiada teknologi penjimatan penggunaan air mahupun elektrik.
Apabila menggunakan mesin basuh separa automatik, pengguna mengawal penggunaan air secara manual.  Sering terjadi pembaziran air kerana pengguna terlupa menutup paip air sewaktu mesin sudah berhenti berfungsi terutamanya sewaktu fungsi membilas.
b. Mesin basuh automatik
Jenis ini lebih canggih dari mesin basuh separa automatik dan mempunyai pelbagai fungsi yang boleh dipilih pengguna mengikut kesesuaian.  Mesin basuh automatik pada masa kini datang dengan pelbagai teknologi baharu untuk merealisasikan misi cekap tenaga yang semakin didambakan pengguna.  Yang paling dikatakan sekarang ini adalah teknologi eco bubble inverter yang membuatkan pencucian lebih bersih dengan lebih efisien.
Mungkin susah untuk kami terangkan secara teknikal tentang fungsi teknologi-teknologi cekap tenaga seperti eco bubble inverter, digital inverter motor, anti-limescale heater, dsb.  Yang pasti, teknologi ini direka untuk menjadikan peralatan tersebut lebih tahan lama, jimat tenaga dan menyenangkan kehidupan anda.

4. Televisyen (TV)

samsung-tv-front
a. TV Kotak
Mungkin ini boleh dikategorikan sebagai TV paling tradisional bagi generasi Y.  Besar, berat dan tidak stail (katanya!).  TV jenis ini boleh dibeli pada harga yang murah dan menjadi pilihan pengguna yang hanya mahukan fungsi menonton televisyen.  Kekurangan bagi TV jenis ini adalah penggunaan elektriknya yang tinggi lebih-lebih lagi jika anda membeli saiz yang besar (saiz maksimum untuk TV kotak adalah 36 inci).
b. TV Plasma
TV Plasma adalah revolusi baru televisyen nipis yang memberikan lebih penjimatan ruang serta reka bentuk lebih futuristik. Nama plasma ini diambil dari nama sejenis gas yang boleh memisahkan elektron dari zarah atom untuk menghasilkan gambar pada skrin TV.  Proses ini akan menghasilkan haba, jika anda pernah memiliki TV Plasma, pasti anda pernah merasa kepanasan apabila tersentuh skrin TV saat terpasang.  TV Plasma juga menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk berfungsi, dan penggunaan yang lama boleh menyebabkan kualiti gambarnya menurun secara signifikan sehingga dapat menimbulkan kesan bayang-bayang.
c. TV LCD
Menggunakan teknologi Liquid Crystal Display, TV LCD datang dalam pelbagai saiz.  Teknologi LCD banyak digunakan pada monitor komputer kerana ianya menjimatkan penggunaan elektrik.  Namun dari segi kepuasan menonton, TV LCD nyata kekurangan kerana kualiti gambarnya masih tidak mampu bersaing dengan TV Plasma dan TV Kotak biasa.
d. TV LED
Light Emitting Diode atau LED merupakan revolusi terbaru TV selepas LCD.  TV LED lebih tahan lama (kurang menghasilkan haba), paling jimat tenaga elektrik serta kualiti gambar paling mantap dari semua TV yang telah disebut di atas.
Walaupun dari segi harga, TV LED adalah lebih mahal berbanding TV LCD, namun teknologi yang ada pada TV LED membuatkan ianya pilihan paling sesuai untuk penjimatan tenaga serta penjimatan wang dalam jangkamasa panjang.
Namun, sila ambil perhatian semua, untuk berjimat, bukan hanya sekadar mendapatkan perkakasan cekap tenaga.  Kami memberikan sedikit panduan bagaimana anda boleh menjimatkan penggunaan elektrik di rumah.
  • Apabila menggunakan mesin basuh, pastikan anda menggunakan muatan penuh kerana ianya lebih menjimatkan elektrik dan air.  Namun berhati-hati, jangan sampai terlebih beban.
  • Pilih seterika yang ringan kerana ianya lebih cepat panas dan senang dikendalikan berbanding seterika yang berat.
  • Jangan halang saluran unit penghawa dingin anda dengan langsir atau perabot.
  • Gliskan / tinted tingkap anda untuk memantulkan haba dan sinar cahaya. Ini dapat mengurangkan pengumpulan haba ke dalam ruang rumah sekaligus tidak membebankan penggunaan penghawa dingin.
  • Pilihlah komputer riba kerana ia menggunakan tenaga 30% lebih kurang dari komputer meja.  Dan ianya lebih mudah alih.
  • Rajin-rajinlah membersihkan peralatan elektrik seperti kipas, penapis AC dan mana-mana yang perlu kerana kotoran yang terkumpul bukan sahaja mengurangkan efisien malahan membuatkan ianya cepat rosak.
Walaupun kerajaan sering menggalakkan kita untuk berjimat, ianya harus bermula dari diri sendiri.  Berjimat sebenarnya amatlah mudah, semudah menikmati popia panas.  Bermula sedikit-sedikit, anda akan dapat rasa perbezaannya, lebih-lebih lagi apabila anda ingin membuat pembayaran bil bulanan tersebut.

JIMAT DAN CEKAP

PENGUNAAN DAN PENJIMATAN TENAGA

Semua kita menggunakan tenaga setiap hari – untuk pengangkutan, memasak, memanas dan menyejuk bilik, pembuatan, pencahayaan dan hiburan. Pilihan terletak di tangan kita bagaimana kita menggunakan tenaga – mematikan mesin apabila tidak menggunakannya atau memilih untuk membeli peralatan yang efisien penggunaan tenaganya – memberi kesan kepada alam sekitar dan cara hidup kita. 

Dengan penggunaan tenaga yang jimat membantu menyelamatkan sumber – sumber tenaga semula jadi seperti gas asli, minyak dan air dan juga membantu mengurangkan bil utiliti.

Sesetengah tenaga yang digunakan oleh kita ialah tenaga yang boleh diperbaharui. Ini termasuk suria, angin, geotermal dan hidro. Jenis tenaga ini adalah boleh diperbaharui atau boleh dijana semula.

Tetapi banyak bentuk tenaga yang digunakan di rumah dan kereta tidak boleh diganti. Bahan bakar fosil mengambil masa berjuta – juta tahun untuk dibentuk.

Dan sumber – sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui ini mempunyai jumlah had tertentu. Ini bermakna ia tidak boleh dijana atau diganti semula. Apabila ia telah tiada, ia tidak boleh digunakan lagi. Jadi kita perlu memainkan peranan yang sebaik mungkin untuk menjimatkan tenaga.
Istilah pemuliharaan tenaga dan kecekapan (efisien) tenaga adalah dua istilah yang sangat berbeza tapi berkait. Terdapat banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga (pemuliharaan) dan menggunakan tenaga dengan bijak (efisien). 

Pemuliharaan tenaga adalah sebarang tindakan yang mengurangkan penggunaan tenaga. Mematikan lampu apabila meninggalkan bilik dan kitar semula tin minuman aluminium merupakan cara - cara pemuliharaan tenaga.
        
Kecekapan tenaga ialah penggunaan teknologi yang memerlukan kurang tenaga untuk menjalankan fungsi yang sama. Menggunakan tenaga secara bijak bermaksud menggunakan tenaga dengan cekap dan efisien. Dengan menggunakan tenaga secara bijak kita boleh mengurangkan bahan pencemar di dalam udara dan air, menghasilkan alam sekitar yang lebih baik kepada semua.

Mentol lampu pendarfluor kompak yang mana menggunakan kurang tenaga berbanding mentol pijar untuk menghasilkan jumlah cahaya yang sama adalah contoh penggunaan tenaga yang cekap. Walaubagaimanapun, keputusan untuk menukar mentol lampu pijar kepada mentol lampu pendarfluor kompak adalah satu tindakan pemuliharaan tenaga.

Kitar Semula 

Ia selalunya menggunakan kurang tenaga untuk menghasilkan produk daripada bahan yang dikitar semula berbanding menggunakan bahan yang baru. 

Kitar semula bermaksud menggunakan semula sesuatu benda. Suratkhabar boleh digunakan semula untuk menghasilkan suratkhabar yang baru. Tin minuman aluminium boleh digunakan untuk membuat tin minuman aluminium yang baru. Jar kaca boleh digunakan untuk membuat jar kaca yang baru. Kitar semula selalunya jimat tenaga dan sumber – sumber semula jadi.

Sumber – sumber semula jadi adalah benda – benda yang bernilai yang diperoleh dari Bumi. Sumber – sumber semula jadi termasuk tanah, tumbuhan, mineral dan air. Apabila kita menggunakan sesuatu bahan lebih daripada sekali, kita telahpun memulihara sumber – sumber semula jadi.

Kitar semula menjimatkan penggunaan tenaga dalam penghasilan produk baru. Ia selalunya menggunakan kurang tenaga untuk menghasilkan produk daripada bahan yang dikitar semula berbanding menggunakan bahan yang baru. Menggunakan skrap aluminium yang dikitar semula untuk menghasilkan tin aluminium yang baru, sebagai contoh, menjimatkan penggunaan tenaga yang amat banyak (lebih kurang 95% di Amerika Syarikat) berbanding membuat tin aluminium daripada bijih bauksit, iaitu bahan mentah untuk membuat aluminium. 

Dalam kes kertas, kitar semula menyelamatkan pokok – pokok dan air. Membuat satu tan kertas daripada kertas yang dikitar semula menyelamatkan lebih kurang 17 pokok dan 50% kurang air (statistik Amerika Syarikat).

Beberapa langkah untuk menjimatkan tenaga.

  1. Matikan lampu dan televisyen atau lain peralatan elektrik apabila tidak menggunakannya. Pada siang hari, apabila di luar terang, buka langsir supaya cahaya matahari menyinari ruang dalam rumah daripada menyalakan lampu.
  2. Jangan biarkan tingkap atau pintu luar terbuka apabila penghawa dingin dihidupkan. Ini menyebabkan alat penghawa dingin bekerja kuat dan menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk menyejukkan rumah.
  3. Apabila keadaan di luar adalah hari yang panas, jemur baju di luar daripada menggunakan alat pengering.
  4. Jangan biarkan air menitik di pili air. Periksa setiap sinki dan bilik air di dalam rumah untuk kebocoran. Kebocoran membazirkan air. Kebocoran pili air panas membazir air dan tenaga.
  5. Matikan alat pengering pinggan mangkuk sebaik sebelum kitaran pengeringan dan biarkan udaranya kering.
  6. Jangan biarkan pintu peti sejuk terbuka. Fikirkan terlebih dahulu apa yang anda ingin ambil dari peti sejuk.
  7. Periksa pelekat pada pintu peti sejuk dengan menutupnya pintu dengan sekeping kertas. Tarik perlahan – lahan kertas tersebut dan lihat jika ia mendakap dengan baik pada pelekat pintu. Jika ia tertanggal dengan cepat, pelekat pintu itu tidak berapa elok untuk memerangkap udara sejuk di dalam peti sejuk dan memastikan udara panas tidak memasuki peti sejuk. 
  8. Gunakan mentol lampu pendarfluor kompak berbanding lampu pijar. Mentol lampu pendarfluor kompak yang mana menggunakan kurang tenaga berbanding mentol pijar untuk menghasilkan jumlah cahaya yang sama, dan ini adalah contoh penggunaan tenaga yang cekap.
  9. Kita juga boleh menjimatkan tenaga apabila menggunakan kenderaan. Pastikan tayar tidak kurang angin. Apabila kereta dinyalakan, pastikan penapis udara dan penapis minyak berfungsi dengan baik supaya ia dapat mengurangkan penggunaan minyak.
  10. Jangan sesekali menambah beban kereta. Setiap lebihan 100 pound, ia mengurangkan perbatuan sebanyak satu batu setiap gelen. Apabila membeli kereta baru, beli kereta yang menggunakan minyak dengan cekap dan beli kereta yang boleh pergi jauh setiap gelen.
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepentingan sumber asli, yang menjadi asas penting dalam penghasilan tenaga. Sumber tenaga di muka bumi ini boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Tenaga yang boleh diperbaharui adalah tenaga yang boleh digantikan secara semula jadi dalam jangka masa yang singkat dan boleh digunakan berterusan. Tenaga yang tidak boleh diperbaharui pula ialah sumber tenaga yang tidak boleh digantikan dalam jangka masa yang singkat apabila habis digunakan. Antara contoh sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui adalah petroleum, gas asli, arang batu dan tenaga nuklear.

Kebanyakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui adalah terdiri daripada bahan api fosil. Bahan api fosil terbentuk daripada tumbuhan dan haiwan yang tertanam berjuta-juta tahun yang lalu. Sisa tinggalan tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang tersimpan di bawah timbunan batuan dalam kerak bumi mengalami keadaan tekanan dan suhu yang tinggi dan akan berubah secara semula jadi dan menghasilkan petroleum, gas asli dan arang batu. Terdapat satu takungan yang besar di bawah tanah yang terdiri daripada sumber-sumber yang tidak boleh diperbaharui di seluruh dunia. Karbon merupakan elemen utama dalam bahan api fosil yang sesuai digunakan untuk menjana sumber tenaga.

Petroleum merupakan bahan api fosil dalam bentuk cecair. Ia juga dikenali sebagai minyak atau minyak mentah. Ia terbentuk daripada pereputan haiwan dan tumbuhan yang hidup berjuta-juta tahun yang lalu yang tinggal di dalam persekitaran air. Lebih daripada berjuta-juta tahun, reputan haiwan dan tumbuh-tumbuhan ini ditutupi dengan lapisan pasir dan kelodak. Haba dan tekanan daripada lapisan-lapisan ini membantu ia berubah bentuk kepada minyak mentah. Minyak mentah adalah berbau, berwarna kuning ke hitam yang akan dikorek daripada takungan di dasar laut dan sesetengah di bawah tanah. Hasil daripada minyak mentah yang telah digerudi, ia mesti ditapis.


Petroleum menjadi salah satu aset sumber tenaga yang utama bagi negara kita. Malaysia telah menubuhkan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) yang bertindak sebagai jentera kerajaan mengendalikan semua hal yang berkaitan petroleum di negara kita. Hal ini demikian untuk memastikan sumber petroleum negara diurus dengan terancang. Hasil daripada petroleum membantu kita dalam banyak perkara. Minyak mentah hasil aktiviti cari gali dari dasar laut akan disalurkan ke permukaan dan loji penapisan serta akan mengalami proses penapisan dan pembakaran bagi menghasilkan produk-produk petroleum. Lebih separuh daripada petroleum akan ditukarkan kepada petrol. Petrol digunakan di dalam kenderaan untuk menggerakkan enjin. Selain petrol, produk petroleum yang lain adalah nafta, kerosin, diesel, minyak pelincir, parafin, minyak bahan api dan bitumen.