Jimat Wang Dengan Peralatan Elektrik Cekap Tenaga
Pada masa kini, anda mungkin sudah terbiasa melihat label Cekap Tenaga yang ditampal pada sesetengah perkakas elektrik, dengan skala bintang dari dua bintang ke had maksimum lima bintang (dua bintang adalah yang paling sedikit). Ternyata setiap ‘bintang’ yang ‘dianugerahkan’ pasti membawa maksud tersendiri.
Namun, pernahkan anda terfikir, mengapa ada perbezaan dari segi kiraan bintang serta apakah kriteria yang membolehkan sesetengah perkakas itu dikategorikan sebagai PALING CEKAP TENAGA? Yang pasti, kami ingin merungkaikan bagaimana dengan membeli perkakasan elektrik jimat tenaga, anda boleh menjimatkan wang anda.
Semakin banyak bintang pada label, ini bermaksud bahawa produk itu mempunyai nilai EER (Energy Efficiency Rating / Pemeringkatan Kecekapan Tenaga) yang tinggi. Semakin tinggi EER, semakin cekap penggunaan tenaga bagi peralatan itu dan jika ianya dikategorikan sebagai 5 bintang, ianya adalah yang PALING CEKAP TENAGA. Setiap produk berlabel cekap tenaga didatangkan dengan teknologi hijau yang dikhaskan untuk menggunakan tenaga elektrik secara lebih efisien sekaligus mengurangkan kesan rumah hijau.
Teknologi ini tidak terdapat pada peralatan elektrik biasa, walaupun dari segi harga, peralatan elektrik biasa kelihatan lebih murah, namun, dari segi nilai, peralatan cekap tenaga membolehkan anda lebih berjimat. Lebih cekap penggunaan tenaga, lebih banyak anda berjimat. Mari kita lihat bagaimana ianya berfungsi melalui contoh-contoh perkakasan rumah yang selalu kita guna setiap hari.
1. Lampu
a. Lampu mentol
Menjana haba yang banyak dan kebiasaannya menggunakan tenaga sebanyak 60W. Kecekapan sinaran adalah dalam lingkungan 18 lumens/wat.
b. Lampu kalimantang
Menjana kuasa yang cerah pada penggunaan tenaga sebanyak 32W, mempunyai balast yang memakan tenaga sebanyak 8W.
c. Lampu kalimantang mampat (CFL)
Menggunakan tenaga sebanyak 11W untuk menghasilkan cahaya yang sama seperti mentol kalimantang 60W biasa. Kecekapan sinaran adalah 60 lumens/wat. Jangka hayat 8 kali ganda lebih lama dari lampu mentol biasa.
3 jenis lampu yang biasa digunakan ialah lampu mentol berfilamen, lampu kalimantang biasa serta lampu kalimantang mampat (CFL). Ketiga-tiga jenis lampu ini menggunakan jumlah tenaga yang berbeza apabila berfungsi. Walaupun dari segi harganya, CFL adalah lebih mahal, namun ianya membolehkan anda berjimat sehingga 80% penggunaan tenaga berbanding mentol biasa serta lebih tahan lama.
2. Penghawa Dingin
a. Penyaman udara konvensional
Penghawa dingin (AC) biasa tidak mempunyai teknologi pengawalan tenaga vs suhu yang efisien. Sebagai contoh, apabila anda menetapkan suhu pada paras 25°c, pemampat AC akan dimatikan secara automatik setelah suhu bilik mencapai paras 25°c dan kebawah. Apabila suhu bilik meningkat melebihi 25°c, pemampat akan hidup semula dan bekerja untuk menyejukkan ruang bilik mengikut suhu yang ditetapkan. Proses ini banyak membuang tenaga dan menyebabkan gangguan bunyi sewaktu pemampat mati dan dihidupkan semula.
b. Penyaman Udara Inverter
Penghawa dingin inverter juga berfungsi untuk menyejukkan ruangan mengikut suhu yang telah ditetapkan, namun, pemampat tidak akan dimatikan secara automatik apabila mencapai kesejukan yang diingini.
Sebaliknya, teknologi inverter akan mengubah tahap (laju atau perlahan) pemampatan penyejuk untuk pengawalan suhu optimum. Teknologi inverter juga berfungsi dengan lebih senyap disamping cara operasi yang lebih cekap dan pantas.
Walaupun penghawa dingin berteknologi inverter agak mahal harganya berbanding penghawa dingin biasa, ianya menawarkan penjimatan penggunaan tenaga sehingga 30% atau lebih mengikut jumlah bintang pada label cekap tenaga. Ingat, lebih banyak bintang, lebih efisien penggunaan tenaganya yang bermaksud penjimatan wang.
3. Mesin Basuh
a. Mesin basuh separa automatik
Mesin basuh jenis ini masih lagi digunakan yang mempunyai fungsi paling ringkas pencucian dengan cara operasi paling mudah. Dari segi kecekapan tenaga, mesin basuh jenis ini tiada teknologi penjimatan penggunaan air mahupun elektrik.
Apabila menggunakan mesin basuh separa automatik, pengguna mengawal penggunaan air secara manual. Sering terjadi pembaziran air kerana pengguna terlupa menutup paip air sewaktu mesin sudah berhenti berfungsi terutamanya sewaktu fungsi membilas.
b. Mesin basuh automatik
Jenis ini lebih canggih dari mesin basuh separa automatik dan mempunyai pelbagai fungsi yang boleh dipilih pengguna mengikut kesesuaian. Mesin basuh automatik pada masa kini datang dengan pelbagai teknologi baharu untuk merealisasikan misi cekap tenaga yang semakin didambakan pengguna. Yang paling dikatakan sekarang ini adalah teknologi eco bubble inverter yang membuatkan pencucian lebih bersih dengan lebih efisien.
Mungkin susah untuk kami terangkan secara teknikal tentang fungsi teknologi-teknologi cekap tenaga seperti eco bubble inverter, digital inverter motor, anti-limescale heater, dsb. Yang pasti, teknologi ini direka untuk menjadikan peralatan tersebut lebih tahan lama, jimat tenaga dan menyenangkan kehidupan anda.
4. Televisyen (TV)
a. TV Kotak
Mungkin ini boleh dikategorikan sebagai TV paling tradisional bagi generasi Y. Besar, berat dan tidak stail (katanya!). TV jenis ini boleh dibeli pada harga yang murah dan menjadi pilihan pengguna yang hanya mahukan fungsi menonton televisyen. Kekurangan bagi TV jenis ini adalah penggunaan elektriknya yang tinggi lebih-lebih lagi jika anda membeli saiz yang besar (saiz maksimum untuk TV kotak adalah 36 inci).
b. TV Plasma
TV Plasma adalah revolusi baru televisyen nipis yang memberikan lebih penjimatan ruang serta reka bentuk lebih futuristik. Nama plasma ini diambil dari nama sejenis gas yang boleh memisahkan elektron dari zarah atom untuk menghasilkan gambar pada skrin TV. Proses ini akan menghasilkan haba, jika anda pernah memiliki TV Plasma, pasti anda pernah merasa kepanasan apabila tersentuh skrin TV saat terpasang. TV Plasma juga menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk berfungsi, dan penggunaan yang lama boleh menyebabkan kualiti gambarnya menurun secara signifikan sehingga dapat menimbulkan kesan bayang-bayang.
c. TV LCD
Menggunakan teknologi Liquid Crystal Display, TV LCD datang dalam pelbagai saiz. Teknologi LCD banyak digunakan pada monitor komputer kerana ianya menjimatkan penggunaan elektrik. Namun dari segi kepuasan menonton, TV LCD nyata kekurangan kerana kualiti gambarnya masih tidak mampu bersaing dengan TV Plasma dan TV Kotak biasa.
d. TV LED
Light Emitting Diode atau LED merupakan revolusi terbaru TV selepas LCD. TV LED lebih tahan lama (kurang menghasilkan haba), paling jimat tenaga elektrik serta kualiti gambar paling mantap dari semua TV yang telah disebut di atas.
Walaupun dari segi harga, TV LED adalah lebih mahal berbanding TV LCD, namun teknologi yang ada pada TV LED membuatkan ianya pilihan paling sesuai untuk penjimatan tenaga serta penjimatan wang dalam jangkamasa panjang.
Namun, sila ambil perhatian semua, untuk berjimat, bukan hanya sekadar mendapatkan perkakasan cekap tenaga. Kami memberikan sedikit panduan bagaimana anda boleh menjimatkan penggunaan elektrik di rumah.
- Apabila menggunakan mesin basuh, pastikan anda menggunakan muatan penuh kerana ianya lebih menjimatkan elektrik dan air. Namun berhati-hati, jangan sampai terlebih beban.
- Pilih seterika yang ringan kerana ianya lebih cepat panas dan senang dikendalikan berbanding seterika yang berat.
- Jangan halang saluran unit penghawa dingin anda dengan langsir atau perabot.
- Gliskan / tinted tingkap anda untuk memantulkan haba dan sinar cahaya. Ini dapat mengurangkan pengumpulan haba ke dalam ruang rumah sekaligus tidak membebankan penggunaan penghawa dingin.
- Pilihlah komputer riba kerana ia menggunakan tenaga 30% lebih kurang dari komputer meja. Dan ianya lebih mudah alih.
- Rajin-rajinlah membersihkan peralatan elektrik seperti kipas, penapis AC dan mana-mana yang perlu kerana kotoran yang terkumpul bukan sahaja mengurangkan efisien malahan membuatkan ianya cepat rosak.
Walaupun kerajaan sering menggalakkan kita untuk berjimat, ianya harus bermula dari diri sendiri. Berjimat sebenarnya amatlah mudah, semudah menikmati popia panas. Bermula sedikit-sedikit, anda akan dapat rasa perbezaannya, lebih-lebih lagi apabila anda ingin membuat pembayaran bil bulanan tersebut.
No comments:
Post a Comment