Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepentingan sumber asli, yang menjadi asas penting dalam penghasilan tenaga. Sumber tenaga di muka bumi ini boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Tenaga yang boleh diperbaharui adalah tenaga yang boleh digantikan secara semula jadi dalam jangka masa yang singkat dan boleh digunakan berterusan. Tenaga yang tidak boleh diperbaharui pula ialah sumber tenaga yang tidak boleh digantikan dalam jangka masa yang singkat apabila habis digunakan. Antara contoh sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui adalah petroleum, gas asli, arang batu dan tenaga nuklear.
Kebanyakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui adalah terdiri daripada bahan api fosil. Bahan api fosil terbentuk daripada tumbuhan dan haiwan yang tertanam berjuta-juta tahun yang lalu. Sisa tinggalan tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang tersimpan di bawah timbunan batuan dalam kerak bumi mengalami keadaan tekanan dan suhu yang tinggi dan akan berubah secara semula jadi dan menghasilkan petroleum, gas asli dan arang batu. Terdapat satu takungan yang besar di bawah tanah yang terdiri daripada sumber-sumber yang tidak boleh diperbaharui di seluruh dunia. Karbon merupakan elemen utama dalam bahan api fosil yang sesuai digunakan untuk menjana sumber tenaga.
Petroleum merupakan bahan api fosil dalam bentuk cecair. Ia juga dikenali sebagai minyak atau minyak mentah. Ia terbentuk daripada pereputan haiwan dan tumbuhan yang hidup berjuta-juta tahun yang lalu yang tinggal di dalam persekitaran air. Lebih daripada berjuta-juta tahun, reputan haiwan dan tumbuh-tumbuhan ini ditutupi dengan lapisan pasir dan kelodak. Haba dan tekanan daripada lapisan-lapisan ini membantu ia berubah bentuk kepada minyak mentah. Minyak mentah adalah berbau, berwarna kuning ke hitam yang akan dikorek daripada takungan di dasar laut dan sesetengah di bawah tanah. Hasil daripada minyak mentah yang telah digerudi, ia mesti ditapis.
Petroleum menjadi salah satu aset sumber tenaga yang utama bagi negara kita. Malaysia telah menubuhkan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) yang bertindak sebagai jentera kerajaan mengendalikan semua hal yang berkaitan petroleum di negara kita. Hal ini demikian untuk memastikan sumber petroleum negara diurus dengan terancang. Hasil daripada petroleum membantu kita dalam banyak perkara. Minyak mentah hasil aktiviti cari gali dari dasar laut akan disalurkan ke permukaan dan loji penapisan serta akan mengalami proses penapisan dan pembakaran bagi menghasilkan produk-produk petroleum. Lebih separuh daripada petroleum akan ditukarkan kepada petrol. Petrol digunakan di dalam kenderaan untuk menggerakkan enjin. Selain petrol, produk petroleum yang lain adalah nafta, kerosin, diesel, minyak pelincir, parafin, minyak bahan api dan bitumen.
No comments:
Post a Comment